Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Permodalan Kedah Berhad & Open Road Asia Sdn. Bhd.
ALOR SETAR, 31 MAC 2021 – Syarikat milik Kerajaan Negeri Kedah, Permodalan Kedah Berhad (“PKB”) dan Open Road Asia Sdn Bhd (“OPen Road Asia), hari ini memeterai perjanjian usaha sama (“JV”) untuk membangunkan destinasi pelancongan dan sukan permotoran di Malaysia, OPen Road International Circuit (“ORIC”) & Integrated Resorts (“IR”) di pulau peranginan Langkawi.
Perjanjian JV tersebut dimeterai pada majlis menandatangani di Wisma Darul Aman antara OPen Road Asia dan PKB, disaksikan oleh YAB Haji Muhammad Sanusi Md. Nor (“Haji Muhammad Sanusi”), Menteri Besar Kedah. OPen Road Asia diwakili oleh Pengasas dan Penasihat Kumpulan Dato’ David Goh (“Dato’ David”) manakala PKB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (“CEO”), Encik Abdul Rahman Haji Din (“Abdul Rahman”).
OPen Road International Circuit and Integrated Resorts, bakal dibangunkan di atas tanah seluas 183 ekar yang mengadap laut di Bukit Malut, bukan sahaja akan merangkumi litar sukan permotoran yang diluluskan oleh FIA, tetapi juga sebuah resort bersepadu sepenuhnya yang mengandungi hartanah kediaman mewah, outlet penjualan barangan mewah, hotel bertaraf 5-bintang, pusat pengedaran kereta 4-S, gudang penyimpanan kereta untuk 900 unit, stesen minyak dan juga pelbagai tarikan pelancong serta restoran berkelas dunia.
Menteri Besar Kedah, YAB Haji Muhammad Sanusi dalam ucapannya berkata, beliau yakin pembangunan seperti ini mampu untuk menarik lebih ramai pelancong luar dan ianya akan memberi manafaat kepada Pulau Langkawi dan penduduk di sana. Pembinaan litar lumba bertaraf antarabangsa ini sesungguhnya akan menjadi tarikan baru sektor pelancongan di Langkawi disamping tarikan sedia ada”, kata beliau.
“Tambah beliau, keputusan PKB dan Open Road Asia Sdn. Bhd. merancang untuk merancakkan sektor pelancongan di Langkawi melalui satu cadangan pembangunan litar lumba bertaraf dunia di Pulau Langkawi adalah amat sesuai. Beliau mengajak setiap agensi dan jabatan yang terlibat untuk sama – sama membantu dalam merealisasikan cadangan oleh PKB dan Open Road Asia Sdn. Bhd,”.
Dato’ David berkata, “Projek Bersepadu ORIC dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM 1.3b ini dijangka menyediakan lonjakan ekonomi berimpak tinggi yang segera kepada Pulau Langkawi dan negeri Kedah, serta Malaysia apabila ianya siap dalam jangkamasa 5 tahun kelak. Dengan unjuran penambahan dari segi ketibaan pelancong-pelancong berbelanjaan tinggi dari dalam dan luar negara, projek ini dijangka membantu mewujudkan aliran perniagaan yang tidak putus-putus dan peluang pekerjaan bagi rakyat Kedah menerusi perkembangan ekonomi pulau ini. Adalah menjadi harapan kami agar projek ini mengkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi paling popular pelancong-pelancong di Asia Tenggara.”
Litar lumba itu juga akan mencatat beberapa rekod dari segi reka bentuk litar lumba termasuk litar lurus yang terpanjang, anjakan selekoh atau carousel, dan hairpin turun bukit. Dimodelkan daripada litar Nurburgring di Jerman, litar lumba sepanjang 5.8km ini bakal menjadi “Nurburgring di Timur”, gelaran secara peribadi oleh Dato’ David sendiri. Apabila ORIC siap pada Q2/2023, tarikan litar lumba bertaraf dunia ini pastinya meletakkan Langkawi di barisan hadapan peminat-peminat sukan permotoran di Asia, menyediakan platform untuk menyemai R&D dalam sektor automotif, medan ujian dan destinasi perlumbaan bagi pengeluar-pengeluar utama automotif, peminat sukan permotoran dan pasukan perlumbaan dari seluruh dunia.
Video Rasmi Pelancaran Open Road International Circuit