Kunjung Hormat Ketua Pegawai Eksekutif PKB ke CT Global Sdn Bhd

Kunjung Hormat Ketua Pegawai Eksekutif PKB ke CT Global Sdn Bhd

10 Februari 2025, Isnin : Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad, Encik Mohd Azad bin Jasmi hari ini telah melakukan satu kunjungan hormat bersama Pengurus Pembangunan Perniagaan Puan Muzzaini binti Abd. Rahman ke Pejabat CT Global Sdn Bhd.

Kunjungan hormat ini telah diisi dengan sesi suai kenal antara dua entiti, perbincangan berkenaan hala tuju yang boleh dilaksanakan secara bersama di samping membina jaringan komunikasi yang strategik bagi kepentingan negeri Alor Setar dan demi pembangunan negeri Kedah pada masa akan datang.

Semoga kunjungan ini dapat memperkukuh dan mengekalkan hubungan baik antara PKB dan CT Global untuk jangka masa yang panjang serta membawa manfaat yang berterusan kepada semua pihak.

CSR Back to School 2025

CSR Back to School 2025

08 Februari 2025, Sabtu – Bertempat di pusat beli-belah Langkawi Parade, Puan Maizatul Miza binti Mohd Disa Pengurus PKB Capital Sdn Bhd mewakili Ketua Pegawai Eksekutif PKB Encik Mohd Azad bin Jasmi bersama YB Shamsilah Siru telah menyantuni pelajar – pelajar yang kurang berkemampuan untuk Program Back To School anjuran PKB dan Pusat Khidmat Adun Ayer Hangat pada tahun ini.

Matlamat program ini bukan sekadar meringankan beban ibu bapa dalam persiapan persekolahan, tetapi juga menyuntik semangat anak-anak ini untuk terus menuntut ilmu demi masa depan yang lebih cerah.

Pada masa yang sama, sumbangan ini juga bertujuan untuk memberi semangat kepada para pelajar untuk menuntut ilmu di sekolah dan seterusnya dapat mengubah nasib keluarga masing-masing.

Semoga sumbangan serta santunan ramah mesra ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka sewajarnya.

Delegasi Kumpulan Permodalan Kedah Berhad Hadiri Majlis Peluncuran Program Pengauditan Syarikat Kerajaan

Delegasi Kumpulan Permodalan Kedah Berhad Hadiri Majlis Peluncuran Program Pengauditan Syarikat Kerajaan

06 Februari 2025, Rabu – Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), delegasi Kumpulan Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah menghadiri Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Delegasi Kumpulan PKB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohd Azad bin Jasmi, bersama barisan kepimpinan strategik termasuk Pengurus Pembangunan Perniagaan, Puan Muzzaini binti Abd. Rahman, Pengurus Pentadbiran dan Kewangan, Encik Badrudi bin Haji Hamid, Penolong Pengurus Operasi, Encik Mohd Hamiz bin Redzuan, serta Penolong Eksekutif Operasi, Puan Ellisza binti Ismail. Turut hadir mewakili PKB Development ialah Pengurus PKB Development Encik Ahmad Hussaini bin Dato’ Wira Hassan dan Eksekutif Operasi & Teknikal, Puan Norsyazwani binti Mustafa. Sementara itu, PKB Hotel diwakili oleh Pengurusnya, Puan Roseita binti Jamaludin.

Kehadiran delegasi ini menandakan komitmen berterusan Kumpulan PKB dalam memperkukuh tatakelola korporat serta memastikan pemantauan berkesan terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pelan strategik syarikat, selaras dengan matlamat kerajaan dalam meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pelaksanaan pengauditan ini disokong oleh Sistem e-SelfAudit, sebuah platform digital canggih yang dibangunkan secara dalaman oleh Jabatan Audit Negara (JAN) tanpa implikasi kos tambahan. Sistem ini menjadi pemacu utama dalam memperkasakan kecekapan pengurusan syarikat kerajaan, di samping memastikan peranan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) lebih proaktif dalam mengawasi operasi syarikat serta menangani isu kerugian berterusan dalam syarikat induk dan anak syarikat.

Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh pelbagai delegasi dari agensi kerajaan, sektor swasta, serta pemimpin industri dan komuniti, yang bersama-sama menyokong aspirasi nasional ke arah pembangunan mampan dan inklusif.

Sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negeri Kedah, Kumpulan PKB kekal beriltizam untuk menggalas tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi, menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh landskap pengauditan korporat dan memperkasa pengurusan syarikat kerajaan, sekali gus membawa negeri Kedah ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefehaman (MoU) antara PKB &  MyCLQ Holdings Sdn Bhd

Majlis Menandatangani Memorandum Persefehaman (MoU) antara PKB & MyCLQ Holdings Sdn Bhd

05 Februari 2025, Rabu – Bertempat di Kuala Lumpur satu perjanjian telah dimeterai antara Permodalan Kedah Berhad dan MyCLQ Holdings Sdn Bhd.

Sesi MoU ini dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohd Azad Bin Jasmi dan disaksikan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan Puan Muzzaini binti Abd. Rahman, Pengurus Pentadbiran dan Kewangan Encik Badrudi bin Haji Hamid dan Penolong Pengurus Operasi Encik Mohd Hamiz bin Redzuan serta barisan kepimpinan MyCLQ Holdings Sdn Bhd

Melalui kerjasama dengan PKB, My CLQ Holdings Sdn Bhd berhasrat untuk memperluas peranan mereka dalam pembangunan ekonomi negeri Kedah, khususnya dalam sektor pelaburan dan hartanah, serta menyediakan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi tempatan.

Dengan pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan CLQ, My CLQ Holdings Sdn Bhd berpotensi untuk menyumbang kepada transformasi ekonomi Kedah ke arah kemajuan dan kemampanan yang lebih dinamik, inovatif, dan kompetitif, selaras dengan agenda kemajuan negeri Kedah.

 

Majlis Menandatangani Memorandum Persefehaman (MoU) antara PKB & OUD Asset Management Sdn Bhd

Majlis Menandatangani Memorandum Persefehaman (MoU) antara PKB & OUD Asset Management Sdn Bhd

05 Februari 2025, Rabu – Satu perjanjian telah dimeterai antara Permodalan Kedah Berhad dan OUD Asset Management Sdn Bhd bertempat di Kuala Lumpur.

Sesi MoU ini dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohd Azad Bin Jasmi dan disaksikan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan Puan Muzzaini binti Abd. Rahman, Pengurus Pentadbiran dan Kewangan Encik Badrudi bin Haji Hamid dan Penolong Pengurus Operasi Encik Mohd Hamiz bin Redzuan serta barisan kepimpinan OUD Asset Management Sdn Bhd.

Kerjasama ini bakal menyumbang kepada pembangunan projek strategik berimpak tinggi di Kedah, pemerkasaan sektor pelaburan dan hartanah, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi tempatan dan transformasi ekonomi ke arah kemajuan dan kemampanan.

Dengan termeterainya MoU ini, PKB dan OUD Asset Management bersedia untuk merealisasikan visi pembangunan yang lebih dinamik, inovatif, dan kompetitif, selaras dengan agenda kemajuan negeri Kedah.