Delegasi PKB Bertemu Penasihat SG4 Tun Mahathir: Aspirasi, Wawasan & Kepimpinan di Yayasan Kepimpinan Perdana

Delegasi PKB Bertemu Penasihat SG4 Tun Mahathir: Aspirasi, Wawasan & Kepimpinan di Yayasan Kepimpinan Perdana

5 Februari 2025, Rabu – Satu detik bersejarah bagi Delegasi PKB apabila berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, bertemu tokoh negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang juga Penasihat SG4.

Delegasi ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohd Azad bin Jasmi, bersama barisan pengurusan PKB termasuk Pengurus Pembangunan Perniagaan, Puan Muzzaini binti Abd. Rahman, Pengurus Pentadbiran dan Kewangan, Encik Badrudi bin Haji Hamid, serta Penolong Pengurus Operasi, Encik Mohd Hamiz bin Redzuan.

Dalam sesi diskusi yang penuh wawasan dan strategik, Tun Mahathir berkongsi pengalaman serta pandangan tajam mengenai kepimpinan, daya saing ekonomi, serta cabaran dan peluang dalam membangunkan negeri Kedah. Beliau menegaskan kepentingan pemikiran strategik, keberanian dalam membuat perubahan, serta komitmen jitu dalam memacu pembangunan berteraskan kemajuan dan kestabilan.

Setiap butir kata dan nasihat beliau menjadi sumber inspirasi luar biasa buat delegasi PKB dalam merangka hala tuju serta memperkukuh peranan dalam mencorak masa depan negeri Kedah yang lebih cemerlang dan berdaya maju.

Dengan semangat dan wawasan yang jitu, delegasi PKB komited untuk terus memacu transformasi ekonomi Kedah, mencipta peluang baharu, serta merealisasikan aspirasi SG4 sebagai model kejayaan negeri-negeri berkepimpinan progresif!

Jalinan Strategik Kedah-Melaka: Kunjungan Hormat Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad kepada Bendahara Seri Nara Di Raja Tun Ali

03 Februari 2025, Isnin – Dalam satu pertemuan penuh signifikan, En. Azad Bin Jasmi, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad, telah mengadakan kunjungan hormat kepada Bendahara Seri Nara Di Raja Tun Ali Bin Bendahara Sri Amar Diraja. Kunjungan ini mencerminkan kesungguhan dua negeri bersejarah, Kedah dan Melaka, dalam memperkukuhkan sinergi strategik demi kemajuan bersama.

Perbincangan bersejarah ini membuka lembaran baharu dalam menjalin kerjasama ekonomi, pelancongan, dan pembangunan infrastruktur, sekaligus merintis pelbagai peluang baharu yang bakal memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat kedua-dua negeri.

Bendahara Seri Nara Di Raja Tun Ali, sebagai seorang tokoh berwibawa dalam pentadbiran, menyatakan sokongan padu terhadap inisiatif ini dan menzahirkan komitmen untuk memastikan jalinan strategik ini mencapai kejayaan cemerlang.

Kunjungan ini bukan sekadar pertemuan diplomatik, tetapi juga salah satu manifestasi kesepakatan dan aspirasi besar dalam mencorakkan masa depan yang lebih gemilang bagi Negeri Kedah dan Melaka. Dengan gabungan kepakaran, sumber dan perancangan rapi, kedua-dua negeri bersedia melangkah ke hadapan sebagai kuasa ekonomi serantau yang lebih kukuh dan berdaya saing.

“Dari warisan gemilang, menuju masa depan cemerlang” – inilah semangat yang membakar dalam jalinan strategik antara Kedah dan Melaka!