06 April 2025, Ahad – Seri Mentaloon bergema dengan kemeriahan, penuh warna-warni tradisi dan ukhuwah, apabila YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah, menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 yang gilang-gemilang di kediaman rasmi beliau di Alor Setar.

Turut menyerikan majlis, Encik Azad bin Jasmi bersama seluruh warga kerja Permodalan Kedah Berhad, hadir membawa semangat kekeluargaan dan silaturahim yang erat, bersama ribuan tetamu dari segenap lapisan masyarakat.

Majlis yang bermula seawal jam 5.00 petang sehingga 11.00 malam itu menyaksikan kehadiran lebih 15,000 orang tetamu, merangkumi wakil-wakil jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, agensi-agensi berkaitan, serta rakyat jelata yang hadir dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan menyambut Syawal.

Antara tarikan utama pastinya deretan juadah yang menggiurkan! Tetamu disajikan dengan pelbagai hidangan istimewa seperti nasi minyak, ketupat rendang, kambing golek, sate, kuetiau goreng, bihun sup, apom lenggang, ais krim dan aneka minuman yang menceriakan suasana penuh mesra dan muhibah.

Majlis ini bukan sekadar sebuah perayaan, tetapi simbol perpaduan, kasih sayang dan kesejahteraan yang sentiasa mekar di bumi Kedah. Semoga sambutan Aidilfitri ini menjadi pemangkin kepada keberkatan dan kemakmuran negeri serta rakyatnya, Insya-Allah.