Beijing, 14 April 2025 – Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah memeterai kerjasama strategik tiga pihak bersama Systech Bhd dan Beijing Daxing International Business Service Co. Ltd, dalam usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur pintar dan integrasi digital rentas sempadan yang dipacu Kecerdasan Buatan (AI) antara Malaysia dan China.
Perjanjian yang dimeterai di Beijing ini menyatukan inovasi sektor swasta serta inisiatif yang diterajui kerajaan, dengan matlamat untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi digital serantau, mempertingkatkan pertukaran perniagaan dua hala, menarik pelaburan asing ke Asia Tenggara.
Pengarah Urusan Systech, Datuk Derrick Hooi, menyatakan bahawa kerjasama ini membuka laluan baharu dalam pembangunan AI, infrastruktur pintar dan inovasi digital dua hala. “Gabungan kepakaran digital dan AI Systech, sokongan Beijing Innovation Hub serta peranan strategik PKB bakal mencipta ekosistem digital yang mampan dan berimpak tinggi antara dua negara.”
Sebagai agensi pembangunan ekonomi negeri Kedah, PKB memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan infrastruktur, termasuk mengenal pasti lokasi tanah strategik seperti Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan projek Aerotropolis Kedah. Projek ini akan dipacu dengan insentif kerajaan yang kompetitif, menjadikan Kedah sebagai destinasi pilihan pelabur digital antarabangsa.
Pihak Beijing Daxing, yang menerajui Hab Inovasi Beijing bagi Perusahaan Ekonomi Digital “Going Global” di bawah Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, melihat Malaysia sebagai rakan teknologi yang stabil dan progresif. Mereka turut menekankan bahawa kerjasama ini akan menjadi platform utama untuk perusahaan digital China meneroka dan berkembang di pasaran Asia Tenggara.
Inisiatif ini dijangka akan merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang di Kedah, selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab ekonomi digital terulung di rantau ini.

