06 Februari 2025, Rabu – Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), delegasi Kumpulan Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah menghadiri Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Delegasi Kumpulan PKB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohd Azad bin Jasmi, bersama barisan kepimpinan strategik termasuk Pengurus Pembangunan Perniagaan, Puan Muzzaini binti Abd. Rahman, Pengurus Pentadbiran dan Kewangan, Encik Badrudi bin Haji Hamid, Penolong Pengurus Operasi, Encik Mohd Hamiz bin Redzuan, serta Penolong Eksekutif Operasi, Puan Ellisza binti Ismail. Turut hadir mewakili PKB Development ialah Pengurus PKB Development Encik Ahmad Hussaini bin Dato’ Wira Hassan dan Eksekutif Operasi & Teknikal, Puan Norsyazwani binti Mustafa. Sementara itu, PKB Hotel diwakili oleh Pengurusnya, Puan Roseita binti Jamaludin.

Kehadiran delegasi ini menandakan komitmen berterusan Kumpulan PKB dalam memperkukuh tatakelola korporat serta memastikan pemantauan berkesan terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pelan strategik syarikat, selaras dengan matlamat kerajaan dalam meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pelaksanaan pengauditan ini disokong oleh Sistem e-SelfAudit, sebuah platform digital canggih yang dibangunkan secara dalaman oleh Jabatan Audit Negara (JAN) tanpa implikasi kos tambahan. Sistem ini menjadi pemacu utama dalam memperkasakan kecekapan pengurusan syarikat kerajaan, di samping memastikan peranan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) lebih proaktif dalam mengawasi operasi syarikat serta menangani isu kerugian berterusan dalam syarikat induk dan anak syarikat.

Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh pelbagai delegasi dari agensi kerajaan, sektor swasta, serta pemimpin industri dan komuniti, yang bersama-sama menyokong aspirasi nasional ke arah pembangunan mampan dan inklusif.

Sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negeri Kedah, Kumpulan PKB kekal beriltizam untuk menggalas tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi, menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh landskap pengauditan korporat dan memperkasa pengurusan syarikat kerajaan, sekali gus membawa negeri Kedah ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing.