07 Januari 2025, Selasa – En. Azad Bin Jasmi, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad, baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat kepada Penasihat SG4, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bagi membincangkan beberapa inisiatif strategik yang bertujuan memacu pembangunan Negeri Kedah.
SG4, atau Pertumbuhan Strategik 4, adalah satu rangka kerja yang direka untuk memperkukuhkan sektor-sektor utama dalam negeri Kedah, negeri-negeri lain yang turut terlibat dalam inisiatif SG4 adalah negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia, seperti Perlis, Pulau Pinang, dan Perak dengan fokus khusus pada pertanian, pelancongan, dan pembangunan modal insan. Fokus SG4 adalah untuk mempertingkatkan kerjasama antara sektor awam dan swasta serta membangunkan rangka kerja yang menyokong pertumbuhan mampan di kawasan-kawasan ini.
Kunjungan hormat ini memberi tumpuan kepada rangka kerja SG4, yang menyasarkan untuk memperkasa ekonomi Kedah melalui penyelidikan, perancangan, dan pelaksanaan program yang menyokong pertumbuhan mampan dan inovasi. Dalam sesi perbincangan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif PKB En Mohd Azad bin Jasmi dan Penasihat SG4 Tun Mahathir membincangkan usaha untuk meneroka peluang dalam meningkatkan trafik pelancong serta memperkukuhkan sektor perhotelan di Langkawi dan seluruh Kedah, dengan matlamat menjadikan Negeri Kedah sebagai destinasi utama pelawat tempatan dan antarabangsa.
Sesi pertemuan ini juga turut membincangkan perancangan strategik jangka panjang untuk Negeri Kedah, termasuk kepentingan pembangunan modal insan sebagai tonggak utama dalam menyokong pertumbuhan mampan serta inovasi merentasi semua sektor. Komitmen berterusan Permodalan Kedah Berhad untuk memperkasakan potensi ekonomi negeri ini turut ditegaskan, dengan harapan untuk memastikan masa depan yang sejahtera bagi rakyat Kedah.